Panggilan Pilu Dari Gua Musang

PELAJAR perempuan berusia 16 tahun dipercayai dilarikan seorang lelaki mengaku anggota polis bernama Faiz di rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, semalam.

Ibu mangsa Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata, sebelum kejadian Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi keluar membeli buku adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali, menaiki motosikal kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka pada 11 pagi semalam.

Katanya, ketika pulang Nur Syaminn yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ruan singgah membeli pisang goreng di kedai berdekatan simpang Ulu Gali.

“Di situ dia bertemu seorang lelaki mengaku anggota polis meminta tolong untuk membawa balik motosikal yang didakwa baru dibelinya di kedai di Sungai Ruan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Maziah berkata, lelaki itu kemudian mengikut anaknya pulang ke rumah mereka dan bertemunya.

“Dia memperkenalkan diri sebagai Faiz, anggota bertugas di Balai Polis Sungai Ruan.“Katanya dia mahu meminta tolong anak saya mengambil motosikal baru dibelinya. Tanpa syak wasangka saya membenarkan Nur Syaminn mengikut lelaki berpenampilan kemas berusia lingkungan 20-an itu menaiki kereta berwarna perak,” katanya.

Surirumah itu berkata, kira-kira 3 petang dia mendapat panggilan telefon daripada anaknya mengatakan berada di Gua Musang, Kelantan.

“Sambil menangis dia memberitahu gelang emas dipakainya diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Ruan pada 4 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dibuat ibu mangsa dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan pihaknya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

 

Sumber : HarianMetro

Facebook Comments